Sistem Kim Pan-gon Teras Jaringan Pertama Faisal Di Kem Kebangsaan

Faisal Halim 7 Sistem Kim Pan-gon Teras Jaringan Pertama Faisal Di Kem Kebangsaan
FA Malaysia
Ikuti Telegram MakanBola (3712)

Pemain sayap kebangsaan, Muhammad Faisal bin Abdul Halim ternyata teruja dengan jaringan pertama beliau bersama Harimau Malaya. 

Faisal yang diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan telah menjadi watak penting kepada kemenjadian barisan serangan skuad kendalian Kim Pan-gon. Anak jati Pulau Pinang ini berjaya membantu Malaysia meraih kemenangan 4-0 mengatasi Brunei dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. 

Pada minit ke-57 permainan, pemain lincah berbakat ini telah menyudahkan hantaran daripada Guilherme De Paula dengan satu rembatan kencang yang menerjah jaring. Transisi pergerakan yang kemas dan cantik daripada Faisal telah melengkapkan malam gemilang gol pertamanya bersama kem kebangsaan. 

Selain menjaringkan satu gol dalam perlawanan semalam, Faisal turut menjadi penyumbang kepada gol kedua skuad negara ketika Syamer Kutty Abba mencatatkan nama sebagai penjaring. Gelecekan lincah Faisal yang melepasi bentang pertahanan Brunei mudah disempurnakan Syamer.

Dalam pada itu, Faisal sempat menzahirkan rasa syukur berjaya membantu pasukan kebangsaan meraih kemenangan. Menurut Faisal, gol tersebut merupakan jaringan pertama dalam kariernya bersama Harimau Malaya.  

“Pada saya syukurlah untuk perlawanan malam ini, jaringan pertama karier saya dalam skuad kebangsaan, ini adalah gol pertama untuk pasukan kebangsaan, saya memang teruja dan amat gembira.”

Pemain Terengganu FC itu turut berpendapat sistem yang digunakan pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon amat membantu dalam keberhasilan pasukan. Tambah Faisal, beliau dan rakan sepasukan mudah memahami setiap arahan dan taktikal yang diterapkan Kim Pan-gon.  

“Saya pun tak tahu apa yang saya nak cakapkan sebenarnya. Saya tak sangka saya dapat perform malam ini dengan sistem yang coach Kim terapkan, semua pemain mudah untuk bermain,” ujar Faisal kepada Harimau Malaya dalam sesi temu bual ringkas pasca perlawanan.

Aksi seterusnya menyaksikan anak buah Kim Pan-gon bakal melayan kunjungan pasukan Hong Kong pada Rabu, 1 Jun 2022. Khidmat Faisal pastinya akan terus menjadi taruhan pasukan dalam misi mencatat keputusan cemerlang buat kem kebangsaan.