Skuad hoki senior Malaysia kini dibimbing jurulatih baharu dari Afrika Selatan, Brendon Carolan.
Pelantikan beliau diumumkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. Subahan turut memaklumkan kontrak jurulatih sebelumnya, Sarjit Singh tidak diperbaharui.
“Lembaga Eksekutif (MHC) telah memutuskan dengan saya sebagai presiden memaklumkan bahawa kita tidak akan melanjutkan kontrak Coach Sarjit,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Carolan bukan asing dengan skuad hoki negara. Ini kerana beliau pernah menjadi pembantu jurulatih Arul Selvaraj.
Gandingan mereka membantu Malaysia muncul juara Sultan Azlan Shah Cup (SASC) edisi 2022 dan layak ke Piala Dunia Hoki 2023.
Khidmat beliau turut ditagih MHC apabila dibawa masuk pada Februari lalu. Kehadiran Carolan bertujuan membantu The Speedy Tigers dari segi strategi dan taktikal.
Ini membantu Malaysia layak ke Piala Dunia Hoki 2026 menerusi pusingan kelayakan yang diadakan di Ismailia, Mesir baru-baru ini.
Skuad negara berdepan cabaran hebat dalam kejohanan itu. Ini kerana Malaysia berdepan cabaran tuan rumah dan pasukan nombor dua dunia, Belgium dalam Kumpulan B.