Skuad B-23 Thailand menerima tamparan hebat apabila Anan Yodsangwal terpaksa disisihkan selepas mengalami kecederaan.
Perkara ini disahkan sendiri oleh jurulatih Gajah Perang, Issara Sritaro. Ini bermakna Anan tidak dapat diturunkan apabila Thailand bertemu Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan H pada 12 September ini.
Penyerang berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan patah tulang rusuk dalam aksi kedua Kumpulan H menentang Bangladesh semalam. Selepas kecederaannya itu disahkan oleh pasukan perubatan, Anan dijangka berehat selama beberapa bulan untuk tujuan pemulihan.
“Malangnya, Anan mengalami kecederaan yang serius. Daripada apa yang kita tahu, tulang rusuknya patah selepas berlanggar dengan pemain Bangladesh. Selepas dibawa ke hospital secepat mungkin, keadaannya semakin bertambah baik.
“Pada awalnya, Anan dijangka berehat selama beberapa bulan sebelum kembali berlatih. Di sini, sebagai ketua jurulatih, saya mesti memohon maaf kepada Lamphun Warriors kerana pemain mereka cedera,” katanya seperti dilaporkan SNE Sports.
Aksi terakhir Kumpulan H membabitkan Malaysia dan Thailand bakal menentukan siapa yang akan layak ke Piala Asia B-23 2024 sebagai juara kumpulan.
16 pasukan terbaik terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan, empat naib juara kumpulan terbaik dan tuan rumah Qatar layak beraksi di pentas Piala Asia B-23 2024