Pengendali Buriram United, Emerson Pereira diumumkan sebagai pengendali skuad Thailand Bawah 20 Tahun (B-20).
ASEAN Football melaporkan Pereira dibawa masuk menggantikan jurulatih sebelumnya dari Jepun iaitu Yuki Richard Stalph.
Menurut wartawan sukan Thailand, Ta Lao, sejak pasukan Thailand B-20 dipadankan dengan Buriram United untuk pengurusan pasukan, pasukan itu telah melalui perlantikan empat jurulatih.
Selain Pereira dan Stalph, Milos Velebit (Serbia) dan Toshiya Miura (Jepun) juga pernah memikul tanggungjawab membimbing Thailand B-20 dari 2022 hingga 2023.
Nama Pereira bukanlah asing dalam dunia bola sepak Thailand. Sebelum bergelar jurulatih Buriram, beliau juga pernah Nongbua dan Chiangrai United.
Pereira juga pernah memikul tanggungjawab sebagai jurulatih skuad muda dua kelab Brazil iaitu Corinthians dan Sao Paulo.
Antara matlamat yang perlu dicapai jurulatih berusia 50 tahun itu ialah membantu skuad muda Thailand layak ke Piala Asia B-20 2025 dan bergelar juara ASEAN U-19 Boys Championship 2024.
Thailand berada dalam Kumpulan C bersama musuh tradisi, Malaysia, Singapura dan Brunei. Kejohanan ini dijangka berlangsung dari 17 hingga 24 Julai ini.