Skuad Treble Kelantan Menang Selesa Atasi Double Treble Kedah
MakanBola
TRW Treble 12

Aksi tumpuan di Kota Bharu antara skuad Treble Kelantan vs Double Treble Kedah memihak pasukan tuan rumah dengan kemenangan selesa.

Pertemuan ini menemukan dua pasukan lagenda, Kelantan yang meraih kejuaraan Treble ketika musim 2012 lalu serta Kedah yang pernah menjulang Double Treble pada musim 2007-2008.

Malah, pertembungan ini juga menawarkan trofi bersempena PUC Cup yang menyaksikan kedua-dua pasukan turun serta membawa pemain hebat yang pernah mewakili Kelantan dan Kedah suatu ketika dahulu.

Antara bintang tumpuan yang turun pada aksi kali ini adalah Mohammad Ghaddar, Badhri Radzi dan Shakir Shaari untuk skuad Kelantan manakala Kedah pula diketuai oleh Baddrol Bakhtiar.

Dikhabarkan para peminat sudah pun mula membanjiri venue seawal jam 6 petang bagi memasuki stadium namun akhirnya ada penonton terpaksa duduk di kawasan padang sebelum sepak mula.

Perlawanan berlangsung dengan meriah ditambah kehadiran penuh dari penyokong setia Kelantan yang menyaksikan aksi berakhir dengan kemenangan selesa 3-0 memihak pasukan tuan rumah.

Bekas penyerang import pasukan Kelantan dari Lubnan iaitu Mohammad Ghaddar menjadi watak utama pada aksi kali ini apabila mencetak dua jaringan pada setiap babak permainan.

Manakala satu lagi gol skuad Treble Kelantan dijaringkan oleh tonggak tengah, Khairul Izuan Rosli untuk menutup satu lagi malam gemilang buat pasukan lagenda The Red Warriors ini.

Untuk rekod, skuad Treble Kelantan ini telah pun memenangi kesemua 4 perlawanan sebelum ini iaitu ke atas Terengganu, Pahang, Carabat FC, Selangor dan yang terkini Double Treble Kedah.