Skuad Treble Kelantan Tewas Sepakan Penalti Kepada Thailand
MakanBola
TRW Treble 12

Pasukan Treble Kelantan memberi tentangan sengit kepada skuad veteran Thailand sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV).

Pertembungan dua pasukan ini memberi peluang kepada peminat melihat bintang-bintang veteran Kelantan dan Thailand beraksi di atas padang. Lebih 10,000 penyokong dilaporkan hadir dalam aksi persahabatan antarabangsa itu.

Skuad Treble Kelantan menampilkan ramai pemain berkaliber termasuk Indra Putra Mahayuddin, Khairul Fahmi Che Mat, Mouhamadou Moustapha dan kapten, Badri Radzi.

Skuad veteran Thailand pula menurunkan ramai legenda negara jiran itu termasuk Teeratep Winothai dan jurulatih Ratchaburi, Worrawoot Srimaka. Worrawoot pernah beraksi untuk Kelantan dari 2005 hingga 2006.

Selepas ketinggalan pada minit ketujuh, pasukan Treble Kelantan berjaya menyamakan kedudukan menerusi tonggak veteran Perak FA, Wan Zack Haikal Wan Noor.

Kedua-dua pasukan terus memberi saingan sengit untuk baki perlawanan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit permainan.

Ini memaksa perlawanan dibawa ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan pemenang. Pada akhirnya, skuad veteran Thailand muncul juara dengan mengalahkan skuad Treble Kelantan 5-3.

Perlawanan ini turut diserikan lagi dengan kehadiran arkitek kejayaan Treble Kelantan, Bojan Hodak. Bekas jurulatih Persib Bandung itu menggalas tugas membimbing pasukan Pantai Timur itu sepanjang perlawanan.