Barisan pemain Kelantan yang pernah membantu pasukan itu meraih tiga kejuaraan pada 2012 kembali bersatu semula.
Ini selepas aksi amal Piala Remau bakal menemukan barisan legenda Kelantan menentang barisan legenda Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu pada jam 8.30 malam, 29 Januari ini.
Aksi amal ini menyaksikan kedua-dua pasukan bakal berentap untuk merebut trofi Piala Remau.
Antara legenda Kelantan yang dijangka membuat penampilan dalam perlawanan tersebut ialah Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan S. Subramaniam.
Legenda Terengganu pula dijangka menampilkan figura seperti bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar dan Ismail Faruqi Asha’ri.
Aksi ini juga cukup istimewa kerana perlawanan tersebut menyaksikan SSMIV sudah boleh digunakan semula untuk aksi bola sepak termasuk aksi kompetitif.
Sebelum ini, aksi bola sepak tidak dapat diadakan di situ susulan kerja-kerja penambahbaikan di stadium. Ini termasuk kerja-kerja pemulihan rumput stadium tersebut.
Berita ini dijangka memberi kelegaan kepada Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) untuk kembali beraksi di stadium itu bagi menghadapi baki kempen Liga Malaysia (Liga M).