Pengendali skuad bola sepak wanita Malaysia, Soleen Al-Zoubi menganggap Korea Utara sebagai lawan sukar pasukan itu dalam aksi kelayakan Piala Asia Wanita 2026.
Pandangan jurulatih Jordan itu dibuat disebabkan status dan pencapaian negara Asia Timur itu dalam arena bola sepak wanita sejak beberapa tahun lalu.
Korea Utara bukan saja pasukan kedua terbaik Asia dengan status pasukan kesembilan dunia. Malah, pasukan itu juga merupakan juara Piala Asia Wanita sebanyak tiga kali.
Atas sebab itu, Soleen melihat barisan anak buahnya perlu menampilkan persembahan terbaik jika ingin melepasi cabaran Korea Utara.
“(Kita) terpilih berada bersama Korea Utara merupakan satu misi sukar. Korea Utara merupakan antara pasukan terkuat di Asia,” katanya.
“Mereka juga pemenang Piala Dunia untuk kategori B-17 dan B-20. Mereka juga juara Piala Asia Wanita sebanyak tiga kali.
“Kita tidak banyak maklumat tentang pasukan senior mereka kerana mereka tidak bermain untuk satu tempoh lama. Walau bagaimanapun, pasukan kita perlu bersedia menghadapi salah satu daripada pasukan terkuat (di Asia).”
Malaysia dan Korea Utara berada dalam Kumpulan H. Palestin dan tuan rumah pusingan kelayakan, Tajikistan melengkapkan senarai pasukan dalam kumpulan sama.
Aksi kelayakan Piala Asia Wanita 2026 bermula dengan Malaysia berdepan Palestin pada 29 Jun. Ini disusuli aksi menentang Tajikistan pada 2 Julai.
Ini disusuli aksi terakhir kumpulan antara Korea Utara dan Malaysia yang berlangsung pada 5 Julai.