Advertisement
Son Heung-min Kagum Semangat Juang Palestin
Inspirasi
MakanBola
KFA/PFA

Semangat juang tinggi yang dipamerkan skuad Palestin dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini membuatkan Son Heung-min kagum.

Penyerang Tottenham Hotspur berusia 32 tahun itu mengetuai cabaran Korea Selatan menentang Singa Kanaan di Amman, Jordan pada 19 November lalu.

Meskipun berdepan konflik Palestin-Israel terutama di Semenanjung Gaza, anak buah Makram Daboub membuka tirai jaringan menerusi Zaid Qunbar.

Heung-min memastikan kedua-dua pasukan meraih satu mata dengan menyumbat gol penyamaan. Keputusan ini menyaksikan Korea Selatan dan Palestin masing-masing berada di kedudukan pertama dan keenam Kumpulan B.

Semangat juang yang dipamerkan Singa Kanaan sepanjang perlawanan mendapat pujian daripada Heung-min. Ini kerana barisan pemain Palestin terus berjuang meskipun berdepan situasi sukar di tanah air mereka.

Bekas penyerang Hamburg SV itu menyifatkan dedikasi dan semangat juang mereka patut dicontohi oleh skuad Korea Selatan.

“Saya bersyukur buat semua pemain yang sudah bekerja keras sepanjang tahun ini. Sebagai kapten, saya berterima kasih kepada mereka.

“Perlawanan hari ini (19 November) bukan mudah. Saya mahu berikan tepukan gemuruh kepada Palestin. Saya melihat mereka bekerja keras meskipun dalam keadaan sukar.

“Saya fikir itu sesuatu yang kita (pasukan Korea Selatan) boleh belajar daripada mereka,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.

Sebaik temu bual Heung-min itu disiarkan di media sosial, ramai peminat bola sepak terutama penyokong Spurs kagum dengan bintang Korea Selatan itu.

Ini kerana Heung-min memahami situasi keganasan yang dihadapi rakyat Palestin terutama pemain bola sepak. Atas sebab itu, rasa hormat mereka terhadap beliau semakin tinggi.

Bagi seorang pengguna TikTok bernama Cherr17es, rasa hormatnya terhadap Heung-min semakin bertambah selepas mendengar komennya. “Beliau mendapat penghormatan saya kerana beliau dengan rasa bangga mengiktiraf Palestin,” katanya di ruang komen.

Komen tersebut turut dipersetujui seorang lagi pengguna TikTok bernama Jeonjimin_0113. Dia percaya komen Heung-min membuatkan orang Palestin terutama yang menetap di Korea bangga dengan beliau.

“Saya mengikuti (akaun) adik-beradik berdarah Korea-Palestin yang kini berada di Korea disebabkan situasi di Gaza. Mereka pasti bangga dengan anda, Kapten Son,” katanya.

@sonnymybeloved

🥹👏 Sonny: “I want to give a round of applause to the Palestine team, who are working hard despite the difficult conditions.” #sonheungmin #손흥민 #heungminson #tottenhamhotspur #fyp

♬ original sound – Sonny_7

Heung-min kini mengalihkan fokus untuk membantu Spurs menentang Manchester City pada awal pagi 24 November.