Penyerang Terengganu, Sony Norde mengakui aksi teruk separuh masa pertama menyebabkan pasukan tersebut keciciran 3 mata berharga dalam saingan Piala AFC.
“Kami memandang rendah pihak lawan. Kami tidak bermain bola sepak dengan betul pada separuh masa pertama dan kami memberikan pihak lawan peluang.” ujar Sony kepada pihak media Astro Arena.
Penyerang berusia 34 tahun itu juga mengakui faktor cuaca mempengaruhi permainan mereka namun tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai alasan.
“Kami bermain perlahan pada awal permainan dan membenarkan Stallion Laguna menjaringkan 2 gol. Jadi kami harus memerah keringat untuk bangkit namun kami bangkit terlalu lambat.” tambah Sony lagi.
Sony Norde mencetak gol pertama Terengganu pada akhir separuh masa pertama untuk mengurangkan perbezaan jaringan.
Gol penyamaan Terengganu hadir pada minit akhir perlawanan dan menyaksikan pasukan tersebut berjaya merampas 1 mata berharga dilaman sendiri.
Sony Norde kini telah menjaringkan 6 gol dalam semua pertandingan buat Terengganu dan telah melakukan lebih 20 penampilan dalam musim ini.
Terengganu kini mengumpul 5 mata setelah mengharungi 3 perlawanan peringkat kumpulan G Piala Asia.