Advertising
Sony Norde: Perlawanan Ini Penting Buat Kita, Kelab Dan Semua Orang
AFC Cup
MakanBola
Terengganu FC

Penyerang Terengganu FC, Sony Norde mengingatkan semua bahawa perlawanan menentang Bali United ini amat penting bagi memastikan perjuangan Terengganu FC dalam kempen Piala AFC dapat diteruskan.

Ketika ditemui di sidang media pra perlawanan, Sony Norde berkata berpeluang beraksi di pentas Piala AFC ini sangat istimewa dan sudah semestinya kemenangan adalah matlamat utama mereka.

“Bermain di Piala AFC merupakan pentas yang besar. Seperti yang saya katakan, kita mahu menang setiap perlawanan dengan semua pasukan,” ujar pemain berusia 34 tahun itu.

Ad

Beliau juga mahu rakan sepasukannya mengutamakan keputusan perlawanan mereka terlebih dahulu sebelum memikirkan hal lain memandangkan perlawanan ini ibarat ‘hidup dan mati’ buat mereka.

“Pertama sekali, kita perlu beraksi dengan baik dan baru fikirkan hal lain. Kita perlu menang perlawanan esok kerana kita tahu perlawanan ini sangat penting buat kita, buat kelab dan semua orang.

Ad
Ad

Pemain kelahiran Haiti itu juga menzahirkan penghargaan kepada para penyokong Terengganu FC yang tidak pernah berhenti menyokong mereka dan mengharapkan sokongan itu dapat diteruskan pada perlawanan esok.

“Dari perlawanan pertama musim ini, mereka (penyokong) sentiasa bersama kita. Tanpa penyokong, tiadalah bola sepak. Kita harap mereka dapat penuhkan stadium dan memberi sokongan kepada kita esok untuk mendapatkan apa yang kita mahu (layak ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC),” tambah beliau lagi.

Terengganu FC akan menerima kunjungan Bali United FC dalam aksi terakhir kumpulan G di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam misi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.