Sri Pahang Dedah Sebab Tarik Diri Liga Super
MakanBola
Sri Pahang FC

Pengurusan Sri Pahang FC mendedahkan sebab pasukan itu menarik diri dari Liga Super musim 2025/26.

Ketiadaan pasukan yang diberi jolokan Tok Gajah itu disahkan menerusi pengumuman senarai pasukan yang beraksi pada musim hadapan.

Sri Pahang telah menghantar surat pengesahan penarikan diri kepada Malaysian Football League (MFL) pada 16 Jun lalu.

Keputusan itu menyaksikan hanya 13 pasukan diketuai juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan mewarnai saingan Liga Super musim 2025/26.

Kini, pengurusan Tok Gajah mendedahkan sebab mereka berbuat demikian. Pengurusan Sri Pahang merasakan mereka memerlukan masa untuk memperkukuh struktur pasukan itu.

Ini kerana dengan langkah tersebut, ini akan membantu masa depan Tok Gajah selepas ini.

“Sri Pahang FC mengambil keputusan menarik diri dari Liga Super Musim 2025/26 kerana memerlukan masa untuk meningkatkan dan mengukuhkan lagi struktur dalaman demi menjamin masa depan yang lagi cerah untuk Sri Pahang FC.

“Sri Pahang FC berharap akan diberi peluang untuk menyertai pembangunan bola sepak di negeri Pahang di masa akan datang.

“Sehubungan dengan itu pihak Sri Pahang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, pihak-pihak berkuasa, penajaan, penyokong dan pengikut Sri Pahang FC, semoga kita berjumpa lagi pada musim hadapan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sri Pahang mengakhiri musim 2024/25 di tangga kelapan liga dan mara ke final Piala Malaysia.