Tugas sukar menanti Sri Pahang FC dalam mengekalkan misi tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini apabila dijadualkan akan bertemu pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Ianya ditambah pula dengan ketiadaan beberapa pemain tonggak utama pasukan yang dilaporkan masih mengalami kecederaan. Difahamkan, tiga pemain utama skuad ‘Tok Gajah’ masih mengalami kecederaan iaitu Sergio Aguero, Azam Azih dan penyerang import dari Brazil, Lucas Silva.
Selain tiga pemain yang masih mengalami kecederaan, Sri Pahang juga dijangka tidak dapat menurunkan tiga pemain lagi iaitu Azrif Nasrulhaq, Syazwan Andik dan juga Izham Tarmizi. Ketiga-tiga pemain tersebut merupakan pemain pinjaman dari JDT untuk mengharungi saingan musim ini.
Sudah tentu situasi sukar dihadapi pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad dalam merancang strategi ampuh bagi menghalang JDT daripada mudah mencipta jaringan seperti kebiasaannya. Fandi memberi bayangan akan menerapkan strategi lebih bertahan pada aksi malam esok.
Baru-baru ini, beliau sempat berseloroh akan meletakkan treler di hadapan gol Sri Pahang bagi mengekang serangan merbahaya dari barisan bintang JDT.
“Lagipun kita akan pergi ke JDT. Kalau kita perlu letak treler kat depan gol pun kita akan letak,” jelasnya kepada Astro Arena.
Perlawanan tumpuan JDT dan Sri Pahang akan dilangsungkan pada 8.15 malam esok dan perlawanan tersebut bakal disiarkan secara langsung di Astro Arena Bola saluran 803.