“Sri Pahang Tiada Masalah Gaji, Tetapi Masalah Dalaman” – Zulhelmi
MakanBola
Sri Pahang FC

Sri Pahang dilaporkan tidak mempunyai masalah gaji untuk terus beraksi di Liga Super musim akan datang, sebaliknya terpalit isu dalaman.

Nama Sri Pahang sebelum ini kecoh apabila dikatakan bakal ‘tutup kedai’ setelah para pemain telah menerima surat dari pihak pengurusan mengatakan skuad Tok Gajah tidak akan beraksi di Liga Super musim hadapan.

Menurut Zulhelmi, isu yang membelenggu Sri Pahang ketika ini berbeza dengan kelab-kelab lain seperti Perak dan Kedah yang masih memiliki tunggakan gaji tatkala jaguh dari Pantai Timur itu sudah menyelesaikannya.

Walau bagaimanapun, Zulhelmi melihat senario yang dialami oleh pasukan Sri Pahang ini lebih cenderung ke arah polemik isu dalaman yang membuatkan mereka menarik diri dari Liga Super.

”Mereka (Sri Pahang) tiada tunggakan gaji, isu mereka berlainan cuma mereka tidak mahu sertai (Liga Super) sahaja,” ujar Zulhelmi ketika ditemu bual di Nadi Arena.

”Tunggakan gaji saya difahamkan selesai selepas 4 hingga 5 bulan tunggakan tetapi saya melihat lebih kepada mereka mempunyai masalah dalaman.”

”Masalah dalaman yang tidak melibatkan masalah kewangan,” tegas Zulhelmi sekali lagi.

Isu dalaman yang dibincangkan bersama dua orang hos iaitu Akbar Sahari dan Fariha Razak ini bagaimanapun tidak dapat didedahkan secara lebih terperinci kepada umum.

”(Isu dalaman) tidak boleh didedahkan,” kata Zulhelmi.

Sri Pahang melalui musim lalu dengan penuh suka dan duka apabila menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-8 selain bergelar naib juara Piala Malaysia sebelum Pemilik, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengumumkan untuk mengundur diri.