Advertisements
Stadium Hoki Nasional Terima 26 Tempahan Konsert
UltraSukan
UltraSukan
Perbadanan Stadium Malaysia

Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bakal menjadi venue alternatif untuk penganjuran konsert selain Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ini selepas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan stadium tersebut sudah menerima 26 tempahan konsert oleh entiti-entiti yang berminat untuk tahun 2025.

Ini sebahagian daripada inisiatif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mempelbagaikan fungsi penggunaan Stadium Hoki Nasional selain untuk kegunaan latihan dan perlawanan hoki.

Stadium Hoki Nasional terbukti sebagai venue alternatif untuk penganjuran konsert apabila menjana pendapatan sebanyak RM210,000 untuk acara bukan sukan.

“Bagi menampung permintaan serta menepati keperluan penganjur konsert, beberapa inisiatif untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada antaranya mempelbagaikan fungsi penggunaan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

“Sebelum ini Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hanya tertumpu bagi pertandingan dan latihan sukan hoki sahaja, namun kini menjadi salah satu venue yang boleh dipilih bagi penganjuran konsert.

“Untuk 2025, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sudah menerima sebanyak 26 tempahan untuk penganjuran konsert. Ini dapat meningkatkan jumlah konsert diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Parlimen sebagai jawapan kepada soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Sebelum ini, Hannah memaklumkan PSM telah menjana pendapatan sebanyak RM10.647 juta menerusi sewaan venue di Kuala Lumpur Sports City (KLSC). Ini termasuk SNBJ yang menjana pendapatan sewaan sebanyak RM1.8 juta untuk acara bukan sukan.