Pembinaan stadium baharu pasukan Kedah Darul Aman FC bakal menjadi simbolik kepada pasukan Sang Kenari dalam usaha mereka menjadi kelab terbaik di Malaysia.
Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor menjelaskan bahawa stadium ini akan dibina hasil kerjasama KDA FC, Majlis Perbandaran Sungai Petani dan beberapa pihak swasta.
Menurut Sanusi, stadium ini akan didirikan diatas tanah majlis perbandaran manakala dananya akan disuntik oleh KDA FC sendiri dan beberapa rakan niaga. Ianya akan dibina di Sungai Petani dan cadangan ini akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri.
“Apabila KDA FC memberi cadangan untuk membina stadium dengan kelengkapan pusat latihan sendiri, saya kata ia boleh dilaksanakan secara usaha sama antara KDA FC dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) iaitu tanah dimiliki MPSPK dan dana untuk pembinaan pula daripada KDA FC serta rakan niaga.”
“Tanah tapak pembinaan stadium KDA FC di Sungai Petani itu terletak tidak jauh dari kawasan litar lumba dan telah dibuat pengambilan beberapa tahun dahulu oleh MPSPK dan kerajaan negeri untuk membuat stadium, tetapi dana untuk membina stadium tidak ada, lalu ia terbiar begitu lama.”
“Jadi, KDA FC membuat keputusan untuk adakan usaha sama untuk pembinaan stadium ini dan saya akan bawa perkara ini untuk ke peringkat majlis mesyuarat kerajaan negeri,” kata Sanusi pada Majlis Pelancaran Widad K-League 2022 semalam.”
Dalam pada itu, Sanusi menegaskan bahawa pihak KDA FC mempunyai strategi tersendiri untuk mencari dana bagi pembinaan stadium ini. Tambah Sanusi, kualitinya hampir sama dengan stadium JDT walaupun tidaklah setaraf.
“KDA FC ada cara untuk mencari dana bagi pembinaan stadium baharu ini dan mereka (KDA FC) sudah melawat stadium pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kualitinya hampir dekat walaupun tak sampai tahap mereka.”
Stadium yang bakal dibina itu dikatakan mempunyai ciri rekaan yang ekslusif dan lengkap dengan pusat latihan buat pasukan. Jelas Sanusi, kawasan tersebut turut mempunyai pelbagai kemudahan untuk orang awam.
“Saya juga sudah melihat lukisan reka bentuk stadium baharu itu, dan memang nampak cantik dengan ada bahagian yang khusus untuk KDA FC serta pusat latihan serta ruang terbuka untuk orang ramai beriadah kerana ini tanah MPSPK,” ujar Sanusi.