Star City Enggan Ulangi Kesilapan Sama Bertemu JDT
MakanBola
STAR CITY FC

Ketua pasukan Star City, Rizal Ghazali mahu rakan sepasukan tidak mengulangi kesilapan sama semasa tewas kepada Sabah ketika menentang JDT pada Sabtu ini.

Pertahanan kental berusia 33 tahun itu memberi pandangan beliau bagi aksi bertemu Harimau Selatan pada 29 Ogos.

Menurutnya, pasukan Star City tidak seharusnya leka pada penghujung masa perlawanan dan sekiranya skuad beliau berjaya meraih satu mata di halaman JDT ia satu pencapaian membanggakan bagi kelab yang baharu dijenamakan semula itu.

“Kesalahan yang dilakukan oleh pasukan ketika bertemu Sabah sebelum ini adalah kami banyak melakukan kesilapan pada minit-minit akhir. Jadi, kami tidak berjaya mendapatkan walaupun satu mata.”

“Insya-Allah, pada malam nanti kami akan cuba memberikan yang terbaik.”

“Kalau kami boleh bawa pulang satu mata, itu memang satu pencapaian yang cukup baik untuk pasukan. Apa yang penting, kami perlu memberikan yang terbaik di atas padang,” kata beliau ketika ditemu bual di dalam rancangan Nadi Bola.

Star City bakal turun menentang juara bertahan, JDT dalam aksi kedua liga mereka pada Sabtu ini di Stadium Sultan Ibrahim.