Penyerang Brazil, Pedro Henrique sah menjadi tonggak import terbaru yang memperkuatkan pasukan Star City FC.
Ketibaan pemain berusia 29 tahun itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Star City, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan. Syed Mahadi memaklumkan Henrique antara tiga tonggak import baharu yang direkrut untuk musim 2026/27.
Pengumuman Star City itu turut mengesahkan khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran.
Avineshwaran memaklumkan Henrique akan menyertai kelab itu selepas meninggalkan kelab Vietnam, The Cong – Viettel FC baru-baru ini.
Sepanjang bersama Viettel dari 2024 hingga 2026, bekas pemain Sao Francisco itu meledakkan 27 gol dan mencipta enam bantuan gol dalam 61 penampilan.
Selain Henrique, Star City turut merekrut bekas kapten Penang FC, Rafael Vitor dan bek tengah Filipina, Noah Leddel. Pengurusan kelab turut mengekalkan pemain pertahanan Singapura, Zulfahmi Arifin dan Pedro Santos.
Star City yang dibimbing Mehmet Durakovic turut membawa masuk dua pemain Harimau Malaya, Engku Nur Shakir Engku Yacob dan Endrick dos Santos. Duo tersebut antara 11 pemain tempatan baharu yang direkrut kelab berkenaan.
Barisan pemain Star City diperkenalkan dalam satu majlis yang diadakan di Atrium Mall, Aman Central pada 31 Julai lalu. Majlis dirasmikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.