Star City Umum Ketibaan Ramon Machado
MakanBola
Star City FC

Bekas penyerang Sabah FC, Ramon Machado kembali mewarnai Liga Malaysia (Liga M) dengan menyertai Star City FC.

Perpindahan penyerang berusia 35 tahun itu diumumkan pengurusan pasukan utara tanah air itu di semua platform rasmi pasukan. Selepas dua musim berkelana di Azerbaijan, Machado memilih kembali beraksi di Liga Super.

“Kami cukup teruja mengumumkan penyerang Brazil, Ramon Machado secara rasmi menyertai skuad Star City FC! Mesin gol ini sudah menyertai pasukan di Hatyai dan sedia untuk bekerja,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Machado menyertai dua lagi rakan senegara, Pedro Henrique dan bekas kapten Penang FC, Rafael Vitor sebagai tonggak import terbaru pasukan itu.

Selain trio berkenaan, Star City turut merekrut bek tengah Filipina, Noah Leddel. Pasukan yang diberi jolokan The Northern Stars itu turut mengekalkan dua tonggak import musim lalu, Pedro Santos dan Zulfahmi Arifin.

Kehadiran Machado dilihat mengisi kekosongan yang ditinggalkan rakan senegara yang juga bekas penyerang Sabah, Joao Pedro dan penyerang Colombia, Wilmar Jordan Gil.

Anak buah Mehmet Durakovic kini berada di Hatyai, Thailand untuk dua aksi pramusim. Pasukan itu sudah mengharungi aksi menentang Songkhla All Stars pada 4 Ogos lalu.

Kini, fokus Star City seterusnya ialah aksi menentang Satun FC pada 8 Ogos ini.