Harapan peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menyaksikan kelibat Ajdin Mujagic dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) tidak menjadi kenyataan.
Ajdin Mujagic sertai JDT pada Februari lalu dari Sabah ketika jendela perpindahan kedua bagi memperkuat serangan skuad Harimau Selatan menjelang baki saingan musim ini.
Impak segera berjaya dibawa oleh Ajdin Mujagic bersama JDT apabila sudah mencetak 5 jaringan dan melakukan 3 bantuan gol hanya dalam 4 penampilan sejak tiba di sana.
Walau bagaimanapun, khidmat Ajdin Mujagic kini tidak dapat dipertaruhkan dalam baki aksi ACLE musim ini apabila nama penggempur berusia 28 tahun ini tidak didaftarkan di dalam senarai pemain.
”Tidak, dia (Ajdin Mujagic) tiada dalam senarai (perlawanan). Kami menandatangainya selepas pendaftaran ditutup. Jadi, kami tak dapat (turunkan Ajdin Mujagic),” jelas Xisco Munoz ketika sidang media pra-perlawanan.
Penerangan ringkas Xisco Munoz ini menyaksikan harapan peminat untuk melihat Ajdin Mujagic beraksi di ACLE tidak kesampaian terutamanya pada aksi menentang Sanfrecce Hiroshima esok.
JDT bakal melayani kunjungan Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pusingan 16 terbaik ACLE esok dengan misi membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik di Jepun minggu hadapan.