Status kecergasan penyerang Terengganu FC, Ismaheel Akinade membuatkan jurulatih pasukan itu, Badrul Afzan Razali resah.
Akinade membentuk kuartet serangan Peteh menentang KL City FC pada 14 Februari lalu bersama Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Nelson Bonilla.
Walau bagaimanapun, Badrul memilih untuk mengeluarkan Akinade semasa rehat separuh masa dan memasukkan Akram Mahinan. Perlawanan tersebut berakhir dengan kekalahan 2-1 buat Terengganu.
Apabila ditanya tentang keadaan terkini Akinade, Badrul memaklumkan penyerang berusia 31 tahun itu bukan saja mengalami sedikit kecederaan.
Malah, bekas penyerang Kelantan FC itu dan beberapa pemain Peteh lain dilihat mengalami keletihan selepas mengharungi jadual padat baru-baru ini.
“Ismaheel (Akinade) ada mengalami sedikit kesakitan. Ya, malam ini bukan malam dia dan kita lihat Ismaheel nampak macam keletihan.
“Ada dua atau tiga pemain lain yang mengalami keletihan. Jadi, kita akan tengok adakah beliau bersedia diturunkan untuk aksi seterusnya,” katanya kepada TFC TV.
Akinade sudah menjaringkan tujuh gol daripada 30 perlawanan bersama Terengganu untuk musim 2024/25.
Terengganu berharap dapat kembali meraih kemenangan apabila turun menentang Kuching City FC pada 21 Februari ini.