Status bekas perancang tengah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Leandro Velazquez kini tergantung memasuki 5 bulan.
Pemain berusia 35 tahun itu beraksi sejak tahun 2019 bersama skuad Harimau Selatan selain berjaya menggondol beberapa trofi kejuaraan.
Khidmat beliau bagaimanapun tidak disambung oleh kelab selepas mengalami kecederaan serius yang memaksa dirinya diketepikan selama beberapa bulan.
Kemasukan perancang tengah baharu seperti Juan Muniz, Chico Geraldes, Jalil Elias dan juga Heberty menyebabkan tempatnya kini sudah memiliki pengganti.
Destinasi baharu Leandro Velazquez menjadi tanda tanya peminat selepas masih tidak mengumumkan kelab baharunya bagi saingan musim 2024/25.
Bekas pemain Argentina B-20 ini masih tidak memiliki kelab menerusi kemas kini oleh laman Transfermarkt.
Leandro telah beraksi sebanyak 287 perlawanan selain merekodkan 50 gol dan 42 bantuan gol sepanjang kariernya.
Sebelum ini, beliau permah dikaitkan untuk menjadi pemain naturalisasi terbaru Harimau Malaya selepas DYAM Tunku Mahkota Ismail juga menyatakan harapan untuk melihat jeneral tengah ini bergelar pemain tempatan suatu hari nanti.
“Saya berharap agar beliau (Leandro) dapat menjadi pemain tempatan kerana saya rasa beliau ialah pemain yang sangat berkualiti,” jelas baginda kepada Nindia Bola.
JDT bagaimanapun telah mengekalkan sebahagian besar tonggak import pada musim lalu seperti Bergson, Fernando Forestieri, Heberty, Jordi Amat dan lain-lain.
Aksi pertama musim ini bakal menemukan JDT dan juga Negeri Sembilan pada 18 Mei di Stadium Sultan Ibrahim.