Penang mengetengahkan strategi bijak dalam usaha meningkatkan kehadiran penyokong ke Stadium Bandaraya.
Strategi yang dimaksudkan ialah strategi cabutan bertuah bagi mana-mana penyokong yang hadir ke Stadium Bandaraya pada hari perlawanan membabitkan Harimau Kumbang.
Terbaru, Penang menyiarkan senarai 27 pemenang bertuah yang hadir ke stadium ketika aksi Liga Super menentang Selangor FC pada 25 Januari lalu.
Antara hadiah yang ditawarkan ialah komputer tablet, mesin pembuat kopi, kipas meja, baju hujan, baucar makanan dan jersi pemain yang dipakai pada hari perlawanan.
Penyokong yang bertuah perlu membawa tiket perlawanan sebagai bukti bila menebus hadiah di pejabat pengurusan pasukan.
Penyokong turut diingatkan waktu penebusan hadiah hanya dilakukan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, dari jam 1.00 petang hingga 5.00 petang hari bekerja.
Strategi ini sedikit sebanyak menjelaskan kehadiran lebih 2,000 penyokong di Stadium Bandaraya untuk aksi Penang dan Selangor.
Aksi tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1. Kapten, Rafael Vitor memastikan kedua-dua pasukan terikat menerusi penalti pada minit akhir permainan.