Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui gembira usahanya menolak Quentin Cheng ke bahagian tengah membantu pasukan itu menewaskan Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) di Stadium MBPJ.
Aksi separuh akhir pertama Shopee Cup menyaksikan Pan-gon memerangkap jentera tengah pelawat dengan mengarahkan Quentin Cheng membuat larian di bahagian tengah.
Meskipun beraksi sebagai bek kanan, larian pemain pertahanan Harimau Malaya itu memberi kesukaran kepada jentera tengah Nam Dinh sepanjang perlawanan.
Hal ini turut membuka ruang kepada Merah Kuning meraih dua gol menerusi penjaring terbanyak mereka musim ini, Chrigor Moraes. Nam Dinh membalas menerusi Nguyen Van Vi.
Pan-gon mengakui gembira melihat pelan yang direncana beliau dan barisan kejurulatihan Selangor berhasil di atas padang.
“Ya, memang benar. Semuanya (strategi larian Quentin ke bahagian tengah) telah dirancang. Para pemain telah mengikuti arahan kami.
“Ia sangat bagus untuk dilihat. Sebagai satu pasukan, kami bermain sebagai satu pasukan. Kami memiliki pemain individu yang bagus. Ia keputusan yang sangat baik,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor memiliki kelebihan satu gol menjelang aksi timbal balik di Vietnam pada 13 Mei ini. Selangor berpeluang ke final dengan syarat mereka mempertahankan kelebihan gol itu.
Nam Dinh masih berpeluang ke final dengan syarat mereka dapat mengatasi kelebihan agregat Selangor.
Selain itu, sokongan padu penyokong di gelanggang sendiri juga akan dimanfaatkan anak buah Vu Hong Viet dalam aksi timbal balik berkenaan.