Pemain tengah Sabah, Stuart Wilkin kembali ke skuad kebangsaan dengan misi besar kali ini.
Nama Stuart Wilkin kembali tersenarai dalam 26 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat ke skuad Harimau Malaya bermula Ahad ini.
Pemain berusia 26 tahun itu mengakui kecederaan yang dialaminya di awal musim adalah satu cabaran yang sukar buatnya.
Sungguhpun begitu, beliau kembali optimis dengan meletakkan sasaran untuk menambah jaringan dan bantuan gol buat Harimau Malaya.
“Selepas mengalami kecederaan di awal musim, ianya sesuatu yang sukar buat saya dan saya tidak pernah menghadapinya setakat ini ketika di Malaysia.
“Saya bersedia untuk kembali beraksi dan membuktikan mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan terutamanya pasukan kebangsaan.
“Saya mahu menambah gol dan bantuan gol bersama pasukan kebangsaan. Itu adalah sasaran saya,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, hari ini.
Stuart Wilkin ketika ini berada dalam prestasi terbaiknya di Sabah yang mencatatkan rekod empat perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Super.
Skuad kendalian Pau Marti akan menghadapi dua perlawanan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November dan menentang India di Hyderabad pada 18 November 2024.