Advertisement
Sukan Olimpik: Argentina Bangkit Tewaskan Iraq
Eropah
MakanBola
Iraq FA

Skuad Argentina menghidupkan peluang layak ke suku akhir Sukan Olimpik 2024 apabila menewaskan wakil Asia Barat, Iraq.

Selepas tewas 2-1 kepada Maghribi dalam aksi pertama Kumpulan B, La Albiceleste wajib menang ke atas Iraq jika ingin layak ke suku akhir. Sementara Iraq pula menyimpan hajat ke pusingan seterusnya selepas menewaskan Ukraine 2-1.

Bek tengah veteran, Nicolas Otamendi terus mengetuai cabaran Argentina. Sementara penyerang berpengalaman, Aymen Hussain menjadi sandaran pengendali Iraq, Radhi Shenaishil.

Separuh masa pertama menyaksikan Argentina berusaha mendapatkan kelebihan gol awal menerusi Julian Alvarez dan Lucas Beltran.

Anak buah Javier Mascherano membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi rembatan padu pemain sayap Atlanta United, Thiago Almada.

Tersentak, Singa Babylon mula meningkatkan tekanan menerusi Aymen dengan sokongan Ali Jasim, Nihad Mohammed dan Youssef Amyn.

La Albiceleste kemudiannya ditimpa malang apabila Beltran terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Lantaran itu, Mascherano memasukkan penyerang muda Atletico Madrid, Giuliano Simeone.

Tatkala Argentina berharap dapat mempertahankan kelebihan 1-0 sehingga rehat, Aymen memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi gol pada minit ke-49.

Bersambung selepas rehat, La Albiceleste terus menggandakan asakan untuk mendapatkan kelebihan gol kedua.

Penyerang Argentinos Juniors, Luciano Gondou menceriakan penyokong Argentina dengan menyumbat gol kedua pada minit ke-62.

Pemain tengah Boca Juniors, Ezequiel Fernandez memastikan kemenangan milik La Albiceleste dengan melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Iraq, Hussein Hussein pada minit ke-85.

Singa Babylon berusaha merapatkan jurang gol tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Argentina kini berkongsi tiga mata dengan Iraq dan Maghribi.

Walau bagaimanapun, kedudukan ini boleh saja berubah seandainya Singa Atlas meraih kemenangan ke atas Ukraine dalam satu lagi aksi Kumpulan B.

Sofascore memilih Fernandez dan Almada sebagai pemain terbaik perlawanan selepas kedua-duanya merekodkan 8.3 mata.

Selepas ini, Argentina akan menentang Ukraine untuk aksi terakhir kumpulan pada 30 Julai. Sementara Maghribi dan Iraq juga akan berentap pada hari yang sama.