Sukan SEA: Malaysia Bantai Singapura
Harimau Malaya
FA Malaysia
Advertisements

Seakan melepas geram selepas tewas dua kali dalam Kumpulan B, Malaysia mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas Singapura dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Visakha. Ini dilihat menebus maruah Harimau Muda selepas gagal layak ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA 2023.

Menyedari keperluan tenaga kreatif di bahagian tengah, E. Elavarasan memanggil Mukhairi Ajmal dalam kesebelasan utama. Bekas jurulatih PDRM itu turut melantik Mukhairi sebagai kapten untuk perlawanan hari ini.

Sebaik sepak mula, anak-anak buah Philippe Aw berdepan asakan bertali arus Harimau Muda. Dan skuad B-22 negara tidak menunggu lama membuka jaringan menerusi T. Saravanan pada minit ke-15.

Advertisements

Dari situ, tiang dan palang gawang Young Lions yang dikawal Aizil Yazid digegarkan dengan beberapa percubaan jarak jauh Harimau Muda. Ini termasuk percubaan Mukhairi pada minit ke-42 tetapi terkena palang sebelum terkeluar dari permainan.

Tetapi akhirnya, Malaysia berjaya menambah jaringan menerusi Haqimi Azim pada minit akhir separuh masa pertama. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan gawang Young Lions dibolosi lagi buat kali ketiga menerusi Saravanan pada minit ke-48. Penyerang KL City itu kemudiannya menambah derita Singapura dengan menyumbat dua lagi gol pada minit ke-55 dan 63.

Advertisements

Tidak mahu dimalukan dengan keputusan jaringan yang lebih besar, Young Lions cuba bertahan habis-habisan. Tetapi Mukhairi dan pemain gantian Aiman Afif memastikan kemenangan manis Harimau Muda menerusi gol pada minit ke-88 dan 94.

Dengan keputusan ini, Malaysia menduduki tangga ketiga kumpulan dengan enam mata. Sementara Singapura berada di tangga tercorot Kumpulan B biarpun berkongsi satu mata dengan Laos. Ini disebabkan Million Elephants mempunyai perbezaan gol yang lebih baik daripada Young Lions.

Saravanan ketika ini berkongsi kedudukan pendahulu penjaring gol terbanyak Sukan SEA 2023 dengan Fajar Fathur Rahman dan Nguyen Van Tung. Tetapi ia boleh saja berubah sekiranya Van Tung menambah koleksi gol dalam perlawanan Thailand-Vietnam yang berlangsung malam ini.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram