Advertising
SUKMA: Kilauan Emas Milik Wilayah Persekutuan, Tundukkan Melaka
MakanBola
Majlis Sukan Wilayah Persekutuan

Wilayah Persekutuan muncul juara baru SUKMA 2024 untuk acara bola sepak apabila menewaskan Melaka di pentas final.

Kedua-dua pasukan masing-masing mengidam kilauan pingat emas selepas menewaskan Kelantan dan Terengganu di peringkat separuh akhir.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Wilayah Persekutuan berusaha mendapatkan gol pendahuluan menerusi Abdul Afiq Hilman Abd Halim.

Ad

Hasilnya, pasukan itu mendapat kelebihan gol awal yang diperlukan ke atas Melaka menerusi pemain pertahanan, Harith Imran Hairee pada minit ke-19.

Tersentak, Melaka yang dibimbing Mohd Nor Derus berusaha memburu gol penyamaan. Malangnya, usaha mereka kerap digagalkan barisan pertahanan Wilayah Persekutuan diketuai Arif Ilham Idwan Shah.

Ad

Kecekapan barisan pertahaanan Wilayah Persekutuan memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Ad

Bersambung pada babak kedua, Melaka terus menggandakan serangan untuk memburu gol penyamaan.

Ad

Hasilnya, Farish Ainun Aswadi menceriakan kem Melaka dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-52.

Keceriaan Sang Kancil tidak bertahan lama apabila Nu’man Hakim Abdul Rahman merobek gawang mereka pada minit ke-68.

Perlawanan kemudiannya menjadi panas apabila penyerang Melaka, Haziq Zamri dikesan mengasari pemain Wilayah Persekutuan. Ini mencetuskan pertelagahan antara pemain kedua-dua pasukan.

Selepas berjaya mengawal keadaan, pengadil perlawanan Mohd Hazwan Hasim tidak teragak-agak mengarahkan Haziq keluar padang pada minit ke-76.

Wilayah Persekutuan kemudiannya melakukan pertukaran penjaga gol apabila Mohammad Hafizy Nadzli mengalami kecederaan pada minit ke-85. Ini memaksa jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff memasukkan Aiman Najwan Nazuhar sebagai penjaga gol gantian.

Kelebihan 11 pemain dimanfaatkan Wilayah Persekutuan untuk mempertahankan kelebihan 2-1 mereka sehingga tamat perlawanan. Kejayaan ini menyaksikan pasukan itu meraih pingat emas pertama bola sepak dalam sejarah SUKMA.

Keputusan ini menyaksikan Melaka terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. Manakala Kelantan pula muncul pemenang pingat gangsa selepas menewaskan Terengganu dalam penentuan pingat gangsa.