Hasrat Malaysia untuk membuka tirai saingan Sultan Azlan Shah Cup 2024 dengan kemenangan hancur setelah tumbang kepada Pakistan pada Sabtu.
Skuad negara turun selaku juara bertahan menampilkan barisan terbaik bagi meraih kemenangan pertama pada kempen kali ini berbekalkan sorakan padu peminat yang hadir ke Stadium Sultan Azlan Shah.
Pakistan pula pastinya mahu merosakkan misi pasukan negara sekali lagi selepas menghancurkan impian Malaysia layak ke Sukan Olimpik apabila terikat seri 3-3 dalam aksi kelayakan Januari lalu.
Pelawat terlebih dahulu di hadapan menerusi pukulan sudut penalti yang mudah disempurnakan oleh Sufyan Khan untuk menewaskan penjaga gol negara seawal minit kesembilan.
Respons pantas terus ditunjukkan oleh pemain-pemain negara dengan gol penyamaan berjaya dihasilkan menerusi jaringan padang penyerang berbisa, Azrai Aizad Abu Kamal empat minit kemudian.
Azrai Aizad menjadi wira apabila meletakkan pasukan negara mendahului pada minit ke-28 yang juga gol kedua peribadi beliu dalam perlawanan ini hasil jaringan padang yang berjaya menerjah gawang Pakistan.
Separuh masa pertama tamat dengan kelebihan 2-1 memihak skuad negara.
Bersambung babak kedua, The Speedy Tigers terus melancarkan serangan bertali arus bagi memburu jaringan tambahan di sepanjang suku ketiga berjalan.
Usaha tersebut tampak membuahkan hasil apabila Azrai Aizad berjaya melengkapkan hatrik pada minit ke-45 untuk skuad negara memimpin permainan dengan kelebihan selesa 3-1.
Pakistan yang dibimbing Roelant Oltmans berjaya merapatkan jurang kedudukan dengan gol kedua sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti Sufyan Khan lima minit selepas suku keempat bermula.
Tiga minit kemudian, jaringan yang dicari oleh pasukan Pakistan berhasil dijelmakan hasil gol padang Zikriya Hayat untuk kembali mengikat kedudukan 3-3.
Pasa minit ke-57, tonggak utama pasukan negara, Shello Silverius menceriakan ribuan penyokong yang hadir di Ipoh dengan gol keempat Malaysia sekaligus menghidupkan kembali peluang negara untuk mengutip tiga mata.
Walau bagaimanapun, hajat skuad negara untuk meraih tiga mata hancur berkecai tatkala gol penyamaan Pakistan hadir pada penghujung permainan menerusi Sufyan Khan yang turut menjaringkan hatrik pada aksi ini.
Malang berterusan buat anak didik Sarjit Singh apabila Pakistan dihadiahkan penalty stroke pada minit 60 dan berjaya disempurnakan oleh Abu Mahmood untuk memastikan tiga mata menjadi milik pelawat.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan buat Pakistan dengan keputusan 5-4.
Aksi seterusnya menyaksikan pasukan hoki kebangsaan akan berdepan jaguh dari benua Amerika, Kanada pada Ahad dengan tolak mula dijadualkan pada jam lapan malam waktu tempatan.