Sultan Selangor Cadang Penyokong Bersalah Diharamkan Ke Stadium
MakanBola
Selangor.gov.my

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, mencadangkan agar para penyokong yang didapati bersalah atas sebarang perlakuan tidak berdisiplin atau keganasan diharamkan daripada memasuki stadium.

Perkara tersebut dititahkan susulan insiden yang melibatkan penyokong tegar Selangor FC yang dikenali sebagai Ultras Selangor (UltraSel) ketika aksi antara The Red Giants menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Ahad lalu.

Kejadian tersebut berlaku pada petang Ahad sebelum aksi antara kedua-dua kelab berlangsung, apabila kumpulan UltraSel dilihat mengadakan perarakan di atas Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge), sekali gus mengganggu ketenteraman serta kelancaran pengguna jalan raya.

Menurut titah Sultan Selangor, baginda menolak sekeras-kerasnya kejadian yang berlaku di Terengganu itu, memandangkan insiden berkenaan berpotensi menjejaskan nama baik kelab yang dikasihi rakyat, dan baginda mencadangkan agar penyokong yang didapati bersalah diharamkan daripada memasuki stadium pada masa hadapan.

“Merujuk kepada insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang didakwa membabitkan penyokong pasukan bola sepak Selangor FC pada 1 Februari 2026.”

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Penaung Selangor FC menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa dengan insiden berkenaan.”

“Baginda tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.”

“Baginda mahu agar pihak Polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.”

“la sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang.”

“Baginda menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.”

“Baginda turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu, titah Sultan Selangor dalam satu kenyataan di laman media sosial.