Bintang muda Thailand, Suphanat Mueanta mencipta sejarah tersendiri dalam saingan Jupiler Pro League bersama kelabnya, Oud-Heverlee Leuven semalam.
Suphanat mencipta sejarah sebagai pemain Thailand pertama yang menjaringkan gol dalam saingan liga tertinggi Belgium itu.
Gol tersebut dijaringkan semasa OHL menentang Eupen dalam aksi terbaru Jupiler Pro League sebelum liga berhenti rehat untuk rehat musim sejuk.
Suphanat yang masuk sebagai pemain gantian menggantikan pemain Iceland, Jon Dagur Porsteinsson pada minit ke-72 menyudahkan hantaran Konan N’Dri untuk gol pada minit ke-89.
Pencapaian ini turut diraikan OHL menerusi hantaran di media sosial mereka yang berbunyi, “Gol pertama untuk Suphanat!”
Gol tersebut memastikan OHL meraih kemenangan 3-0 di hadapan penyokong sendiri. Keputusan ini menyaksikan kelab itu menduduki tangga ke-14 dengan 16 mata daripada 20 perlawanan.
Selain itu, kemenangan semalam turut mengakhiri kemarau kemenangan OHL. Kali terakhir kelab itu menang dalam liga ialah pada 23 Oktober lalu di mana mereka mengatasi STVV 4-0.
Ini penampilan ketujuh Suphanat bersama OHL selepas menyertai kelab itu secara pinjaman dalam tetingkap perpindahan musim panas lepas.
Disebabkan komitmen liga yang belum tamat, beliau juga tidak dapat menerima panggilan ke skuad Gajah Perang untuk aksi persahabatan menentang Jepun pada 1 Januari ini.
Nama Suphanat dijangka tersenarai dalam senarai skuad Thailand yang bakal dibawa Masatada Ishii ke Piala Asia 2023.