Penyerang muda Thailand, Suphanat Mueanta sah meninggalkan kelab Belgian Pro League, OH Leuven.
Perkara ini disahkan pengurusan OHL menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan itu.
Keputusan menamatkan kontrak pinjaman beliau dibuat pengurusan kelab Belgium itu dan Buriram United selepas mendapati Suphanat tidak mendapat minit permainan yang kerap untuk musim 2024/25.
“Suphanat ‘Bank’ Mueanta dibawa secara pinjaman pada musim lepas dari kelab besar Thailand, Buriram United. OH Leuven turut membawa penyerang Thailand itu untuk musim ini tetapi persetujuan untuk menamatkan kontrak pinjaman dibuat secara persetujuan bersama.
“Bank bermain 17 kali untuk kelab kita (dan) menjaringkan satu gol. Semalam, beliau mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sepasukan dan penyokong selepas kemenangan aksi piala menentang RFC Seraing.
“Bank kembali ke negara asalnya untuk mencari lebih banyak minit permainan di situ. Terima kasih atas segalanya, Bank. Selamat berjaya di Thailand!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Mengikut data Transfermarkt, Suphanat telah merekodkan 18 penampilan dalam semua kejohanan termasuk saingan Belgian Pro League.
Kehadiran semula Suphanat bukan saja akan memantapkan lagi jentera serangan pasukan yang dibimbing Osmar Loss Vieira itu.
Malah, pengalaman penyerang berusia 22 tahun itu bakal ditagih Vieira untuk kempen Thai League 1 dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Ini ditambah dengan hakikat pasukan itu masih belum kalah selepas tiga aksi Liga Timur ACLE.
Suphanat dijangka bersaing dengan Guilherme Bissoli, Chrigor, Supachai Chaided dan Caelan Ryan untuk slot penyerang utama Thunder Castle.