Penyerang pasukan Kedah Darul Aman, Syafiq Ahmad menyimpan hasrat untuk kembali bersama Harimau Malaya.
Pemain berusia 28 tahun itu terlepas beberapa panggil sejak tahun lalu terutamanya dalam kempen Piala Asia 2023 di Qatar.
Beliau bagaimanapun optimis untuk memberikan yang terbaik untuk mendapatkan semula tempat bersama skuad kebangsaan.
Syafiq yang dipinjamkan ke Kedah daripada JDT memberitahu bahawa jaringan pantasnya menentang PDRM menjadi pemangkin untuk beliau terus memperagakan aksi konsisten atas padang.
“Gol ini menjadi salah satu kebangkitan untuk saya menonjol lagi selepas ini. Dengan gol tersebut, saya berharap dapat beraksi dengan lebih baik pada setiap perlawanan dan dapat beraksi buat Harimau Malaya.
Anak jati Pulau Pinang ini juga sedar bahawa persaingan sengit untuk beraksi buat skuad negara selain optimis setiap pemain mengimpikan peluang untuk bersama pasukan kebangsaan.
“Kita ada Kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia yang amat penting. Sebagai seorang pemain yang pernah mewakili Harimau Malaya, semua pemain mahukan tempat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan,” jelasnya kepada Harimau Malaya.
Kedah akan ke Stadium MBPJ bagi aksi menentang Selangor pada 18 Mei 2024 jam 8:15 malam.