Advertisements
Syafiq Ahmad: Saya Hampir Berhenti Main Bola
Inspirasi
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad mendedahkan bahawa pernah terdetik di hatinya untuk berhenti daripada sukan bola sepak.

Ini kerana, kemalangan ngeri yang dilalui oleh beliau dan keluarga empat tahun yang lalu sentiasa menghantui fikiran beliau dan isteri.

“Untuk pengetahuan, saya hampir-hampir nak berhenti main bola. Betul saya cakap. Saya dah beritahu isteri saya. Kalau duduk kampung, duduk kampunglah. Saya buatlah kerja apa pun asalkan isteri saya gembira semula.

“Dia (isteri) kehilangan orang paling dia sayang. Anak dan ibu. Apa yang saya boleh katakan, saya memang kena cuba kuat bukan untuk diri saya tapi saya nak tengok isteri saya gembira semula, tengok dia sihat,” jelas Syafiq kepada Astro Gempak.

Mengimbas kembali detik hitam yang berlaku di dalam hidupnya itu, Syafiq berkata niatnya pada ketika itu adalah untuk membawa isteri yang sedang berpantang anak kedua untuk berpantang di kampung di Kedah.

Namun kemalangan telah berlaku ketika Syafiq sekeluarga dalam perjalanan pulang dan meragut nyawa tiga individu iaitu ibu mertua Syafiq, anak kedua yang pada ketika itu baru berusia 23 hari dan pembantu.

Persitiwa yang berlaku pada Disember 2020 itu telah melumpuhkan semangat Syafiq untuk bermain bola sepak buat seketika sebelum kembali semula ke padang selepas menerima sokongan hebat insan-insan tersayang termasuk pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor.

Syafiq yang kini dipinjamkan ke KDA FC dari JDT telah turun dalam 11 perlawanan untuk Kedah dan merekodkan dua jaringan setakat ini.