Berbaki kurang 48 jam sebelum aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 di antara Malaysia dan Kyrgyzstan Khamis ini, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon dilihat semakin baik dari hari ke hari.
Pemain pertahanan kanan, Syahmi Safari ketika ditemubual sebentar tadi menyatakan bahawa keadaan dalam kem Harimau Malaya kini berada di dalam kondisi terbaik dengan semua pemain memberikan komitmen di dalam latihan.
“Pasukan (Malaysia) berada di dalam keadaan yang terbaik. Semua pemain memberikan komitmen yang terbaik ketika latihan. Semua berada dalam momentum terbaik untuk perlawanan akan datang ini,” jelas Syahmi.
Dalam masa yang sama, Syahmi juga menganggap pemilihan pemain untuk menyarung jersi kebangsaan adalah keputusan jurulatih sendiri. Andai kata terpilih, lakukan sebaik mungkin di atas padang.
“Setiap pemain yang beraksi dengan pasukan kebangsaan, saya rasa ianya terletak kepada jurulatih sendiri sama ada saya terpilih ataupun tidak. Bagi pemain, hanya deliver yang terbaik sahaja. Jika dipilih, lakukan yang terbaik,” katanya lagi.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia bertemu Kyrgyzstan adalah pada Oktober 2018 untuk perlawanan persahabatan antarabangsa. Perlawanan berakhir dengan Malaysia tewas 0-1 kepada Kyrgyzstan. Syahmi Safari turut beraksi dalam perlawanan tersebut.