Perancang tengah Penang FC, Syamer Kutty bertemu peminat dan meminta maaf atas prestasi semasa pasukan yang kurang memberangsangkan.
The Phanters terus dihurung prestasi longlai selepas sungguhpun mengharungi permulaan musim yang amat memberangsangkan.
Pasukan kendalian Akmal Rizal tidak mencatatkan sebarang kemenangan dalam 5 aksi terakhir termasuklah tunduk 1-0 di tangan Sri Pahang ketika beraksi di lan sendiri.
Syamer telah bertemu peminat pada akhir permainan memohon maaf kepada penyokong atas prestasi pasukan yang cukup mengecewakan.
“Kami cuba tetapi tak cukup baik. Kami beruntung, hampa tak ada gaji kami ada gaji. Abamg gaji kira hari, kami 4 jam main bola ada duit.
Beliau bagaimanapun memberi penghargaan kepada peminat yang masih turun ke stadium bagi memberikan sokongan untuk menyaksikan kelibat pemain kesayangan beraksi di padang.
“Kalau saya di tempat abang, saya akan buat benda sama. Terima kasih untuk 1004 orang yang mai (datang), tapi hampa mai untuk kami,” jelasnya menerusi perkongsian video penyokong, Komieexchik di laman sosial.
Pengendali Penang FC, Akmal Rizal bersedia untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada dan kembali bangkit bersama para pemain jika terus diberi kepercayaan oleh pengurusan Penang.
“Saya sudah melakukan yang terbaik, yang mampu saya lakukan. Tetapi saya masih percaya dengan kualiti pemain, dengan apa yang telah dilakukan pemain sepanjang separuh musim ini.
“Kita akan terus bekerja, kita akan terus berjuang mendapatkan kedudukan yang kita mahukan. Jika terus kepercayaan diberi kepada saya, pasti akan bersama-sama pemain untuk terus bangkit,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
Penang akan bertemu Sabah bagi aksi berikutnya di laman sendiri pada 25 Oktober ini.