Syazwan Andik Sedia Tinggalkan Sri Pahang
MakanBola
Sri Pahang FC

Pemain pertahanan kiri Sri Pahang FC, Syazwan Andik bersedia untuk membuka lembaran baru dalam karier bola sepak profesional apabila mengumumkan bakal meninggalkan Sri Pahang.

Syazwan Andik terbuka untuk sebarang perbincangan bersama mana-mana kelab ketika ini setelah hampir 3 tahun bersama Sri Pahang.

Menurut laporan Astro Arena, Syazwan Andik ketika ini dikaitkan dengan kelab seperti KL City dan Melaka untuk musim hadapan.

Sri Pahang dikhabarkan tidak akan beraksi dalam saingan liga Malaysia musim hadapan namun kelab tersebut tetap melakukan permohonan untuk mendapatkan lesen kebangsaan.

“Saya rasa macam tak ada peluang kerana pemain-pemain yang masih mempunyai kontrak telah diberikan surat pelepasan untuk menyertai pasukan lain.

“Saya kena teruskan untuk mencari pasukan baharu untuk hala tuju saya yang seterusnya. Saya akan meninggalkan pasukan kerana ketika ini tiada masa untuk saya menunggu keputusan daripada pihak pengurusan.

“Saya terbuka untuk sebarang perbincangan tetapi saya meletakkan keutamaan untuk dapat beraksi dalam kesebelasan utama. Saya akan usaha sehabis baik untuk mana-mana pasukan.” ujar Syazwan Andik.

Syazwan yang bakal berusia 29 tahun pada Ogos ini beraksi cemerlang di bahagian pertahanan Sri Pahang selain membantu pasukan sehingga ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu.

Bek kiri ini merekodkan 14 penampilan liga bersama skuad Tok Gajah selain turut mencetak 1 jaringan dan 2 bantuan gol.

Syazwan Andik sebelum ini pernah bermain untuk pasukan Johor Darul Ta’zim sebelum menyertai Sri Pahang.