Bintang baru Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi cemerlang dalam aksi pertama bersama skuad Harimau Selatan di pentas Liga Malaysia 2023.
Pemain berusia 27 tahun itu diberi kepercayaan oleh pengendali JDT untuk turun mengawal benteng terakhir pasukan dalam perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT dan Terengganu. Skuad kendalian Esteban Solari berjaya menewaskan Terengganu dengan keputusan 2-0.
Beraksi sebagai penjaga gol di laman sendiri, Syihan dilihat begitu selesa dan tenang mengawal perlawanan. Beliau berjaya menghalang setiap percubaan dan cemerlang menepis keluar beberapa rembatan daripada penyerang pihak lawan.
Debut pertamanya bersama JDT cukup indah apabila pemain berketinggian 1.85 ini berjaya mengawal kubu dari dibolosi.
Beliau sekaligus berjaya menjulang trofi pertama dalam kariernya pada aksi pertama bersama JDT. Kini persembahan memukau penjaga gol utama Harimau Malaya ini akan terus dinanti-nantikan peminat bola sepak tempatan.
Selepas melengkapkan perpindahan dari Negeri Sembilan ke JDT musim ini, Syihan menjadi antara penjaga gol pilihan diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan. Bagaimanapun, beliau perlu merebut tempat bersama dua lagi penjaga gol berbakat iaitu Farizal Marlias dan Haziq Nadzli.
JDT bakal meneruskan kempen Liga Super berdepan Kuala Lumpur pada Rabu, 1 Mac 2023 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.