Beregu lelaki nombor satu negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani menghargai pelawaan menyertai program Road to Gold (RTG).
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ingin membawa beregu nombor dua dunia itu menyertai program tersebut.
Ini kerana dengan status mereka sebagai antara beregu lelaki terbaik dunia, ini menjadikan Sze Fei-Izzuddin antara prospek pingat Malaysia di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Prestasi mereka melonjak dengan sangat cepat. Mereka kini sudah menjadi beregu lelaki nombor dua dunia dan hasrat kita untuk memenangi pingat emas di Olimpik Los Angeles 2028 semakin hampir kalau mereka teruskan pencapaian nombor satu atau dua ini.
“Senarai penuh pemain yang akan dipilih untuk berada dalam program ini masih belum diputuskan lagi dan kita akan umum bila sudah bersedia. Namun, dengan kedudukan Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking nombor dua dunia, sudah tentu mereka layak,” katanya.
Apabila diminta mengulas perkara tersebut, Sze Fei menyambut baik tawaran yang dikemukakan. Pada masa sama, mereka akan mengadakan perbincangan dengan pihak kementerian terlebih dahulu.
“Sejujurnya, saya tak tahu lagi. Jadi, apa yang orang cakap itu (berkenaan program RTG), kita akan bincang dengan YB (Hannah). Terima kasih atas (tawaran tersebut),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
Sze Fei turut menganggap program RTG satu program yang baik. Ini kerana program tersebut membantu atlet lebih bersedia dalam kejohanan antarabangsa.
“(Program RTG) memang (satu program) yang baiklah. Program ini banyak membantu atlet,” tambahnya.
Sze Fei-Izzuddin dalam kedudukan baik untuk mencabar beregu nombor satu dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Ini kerana kedua-dua beregu hanya dipisahkan 3,200 mata berdasarkan kemas kini terbaru ranking Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).