Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani sah menjadi beregu lelaki nombor satu Malaysia.
Ini disebabkan Sze Fei-Nur Izzuddin kini menduduki ranking ketiga dunia berdasarkan kemas kini ranking terbaru Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
Mereka kini di belakang beregu lelaki China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan beregu nombor satu dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Peningkatan ranking terbaru mereka didorong oleh kejayaan mara ke final BWF World Tour Finals 2024. Sze Fei-Nur Izzuddin muncul naib juara selepas tewas kepada Astrup-Rasmussen di pentas final.
Lebih menarik, Sze Fei-Nur Izzuddin turut memiliki kutipan mata ranking yang banyak iaitu 85,916 mata. Mereka bukan saja meninggalkan rakan senegara merangkap bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Malah, kutipan mata Sze Fei-Nur Izzuddin turut mengatasi bekas juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae. Min-hyuk-Seung-jae dan Aaron-Wooi Yik masing-masing mengutip 83,815 dan 82,615 mata.
Kemas kini terbaru ini menyaksikan enam wakil negara berada dalam kelompok 30 beregu lelaki terbaik dunia. Sze Fei-Nur Izzuddin dan Aaron-Wooi Yik berada dalam kelompok 10 beregu lelaki terbaik dunia.
Mereka disusuli oleh Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ranking ke-14), Choong Hon Jian-Haikal Nazri (ranking ke-21), Arif Junaidi-Yap Roy King (ranking ke-23) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (ranking ke-24).