Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin berasa ralat selepas anak-anak didiknya tumpas kepada Selangor dalam aksi Liga Super meskipun lebih menguasai permainan.
Aksi tumpuan Liga Super pada Ahad menemukan Selangor dan Kuching City yang menyaksikan kemenangan memihak pasukan Gergasi Merah 1-0 menerusi jaringan lewat Chrigor Moraes.
Di sebalik kemenangan Selangor, persembahan hebat turut dipamerkan oleh Kuching City sepanjang tempoh 90 minit aksi sebelum tewas buat kali ke-3 dalam saingan Liga Super musim ini.
Usai perlawanan, Aidil Sharin tetap mengucapkan tahniah di atas kemenangan lawan, namun berpandangan pasukannya tidak sepatutnya tewas jika dinilai berdasarkan peluang yang dicipta serta penguasaan permainan sepanjang aksi.
“Pertama sekali, tahniah kepada Selangor kerana meraih tiga mata namun saya rasa pemain-pemain saya tidak sepatutnya kalah.”
“Kami mencipta banyak peluang dan mengawal permainan dengan baik tetapi inilah bola sepak, kami perlu terima dan belajar daripada kekalahan ini,” kata Aidil Sharin ketika sesi sidang media.
Kekalahan ini tidak sedikit pun mengurangkan pujian Aidil Sharin terhadap para pemainnya yang telag menampilkan persembahan cemerlang hasil kerja keras mereka untuk mencapai tahap ini.
“Ini juga merupakan kekalahan ke-3 kami dalam saingan liga. Jadi saya tetap memberikan pujian kepada para pemain saya atas usaha dan sumbangan mereka.”
“Mereka bekerja sangat keras malam ini untuk memastikan kualiti permainan Kuching City.
“Sebelum ini kami belum berada pada tahap tersebut, tetapi sedikit demi sedikit kami semakin hampir. Namun kami perlu menerima hakikat bahawa kami tewas kepada pasukan yang lebih baik.”
Kemenangan 1-0 di Stadium MBPJ pada Ahad menyaksikan Selangor masih kekal di tangga kedua Liga Super manakala Kuching City menghuni tempat ke-4 dengan kelebihan satu perlawanan