Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamad berpandangan skuad negara perlu mengejar gelaran juara Pestabola Merdeka 2024.
Perkara ini dinyatakan beliau dalam sidang media selepas majlis cabutan undi pasukan Pestabola Merdeka 2024 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 6 Ogos lalu.
Skuad negara yang ketika itu dibimbing Kim Pan-gon terpaksa menelan kepahitan apabila tewas kepada wakil Asia Tengah, Tajikistan dalam aksi final Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tajikistan yang ketika itu dibimbing pengendali Croatia, Petar Segrt muncul juara dengan meraih kemenangan 2-0 ke atas Harimau Malaya.
Kini, Harimau Malaya yang dibimbing pemangku jurulatih, Pau Marti Vicente bakal berdepan The Crowns, Filipina dan Lebanon untuk edisi 2024.
Meskipun berdepan lawan yang mencabar termasuk Tajikistan, Firdaus melihat sasaran juara seharusnya dicapai skuad negara. Ini kerana Malaysia beraksi di gelanggang keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selain itu, Harimau Malaya juga akan mendapat dukungan ribuan penyokong pada hari perlawanan nanti. Atas sebab itu, Firdaus melihat anak buah Pau Marti tiada alasan untuk tidak memburu gelaran juara.
“Kita memang letak sasaran jadi juara Pestabola Merdeka. Macam tahun yang sudah, kita letak sasaran jadi juara. Jadi, maknanya tiada alasan untuk kita tidak jadi juara edisi kali ini,” katanya.
Malaysia bakal membuka kempen Pestabola Merdeka dengan menentang Filipina pada 4 September. Manakala Tajikistan pula bakal berdepan The Cedars pada hari yang sama.
Pemenang kedua-dua perlawanan ini akan berentap di final pada 8 September. Sementara pasukan yang tewas pula akan berentap pada hari sama untuk penentuan tempat ketiga.