Advertisements
“Tak Perlu Manchester United, JDT Contoh Terbaik Di Malaysia” – Hadi Fayyadh
Liga Super
MakanBola
MUFC/JST

Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh yakin Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan contoh terbaik di Malaysia dan tidak perlu merujuk kepada kelab luar seperti Manchester United.

Tonggak kelahiran Tanjung Malim, Perak ini berkelana di Jepun hampir 4 tahun setengah sebelum pulang beraksi di Malaysia.

Beliau berhijrah sekitar tahun 2019 dari JDT dan sempat beraksi bersama dua kelab iaitu Fagiano Okayama dan juga Azul Claro Numazu sebelum pulang menyertai Perak FC.

Menerusi satu sesi audio siar bersama Koppa TV oleh Hanif Miswan, Syakira Zulkifly dan Nazreen Izahar, beliau memaklumkan bahawa dirinya amat gembira dengan pencapaian JDT ketika ini.

“Secara jujurnya saya gembira dengan apa yang dicapai JDT setakat ini, salah satu pasukan terbaik di Asia dan beraksi di AFC Champions League Elite (ACLE).

“Mereka (JDT) juga ada struktur yang bagus dan selagi mana mereka mereka membelanjakan duit dengan baik, amat bagus,” katanya kepada Koppa TV.

Beliau turut berpendapat bahawa JDT menjadi contoh terbaik buat kelab bola sepak di Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan.

“Saya rasa pasukan di Malaysia patut lihat (kepada JDT). Buat apa nak ikut Real Madrid atau Manchester United, Chelsea atau Liverpool kerana kita ada contoh terbaik di Malaysia (JDT).

“Tidak salah untuk kita gunakan peluang itu dan pepatah Melayu mengatakan, jangan bodoh sombong. Kita perlu belajar dari yang terbaik,” tambahnya.

JDT kini merupakan pasukan ke-5 terbaik di Asia menerusi kemas kini laman Opta Analyst selain menjadi kelab nombor satu di Asia Tenggara dan juga Malaysia.

Wakil tunggal Malaysia dalam saingan ACLE itu kini menghuni tangga ketiga kumpulan selepas menewaskan juara K-League 1, Ulsan HD.

Hadi sebelum ini turut mengakui bahawa dirinya akan terus kekal di Jepun sekiranya tidak mendapat panggilan oleh bekas pengendali Perak FC, Lim Teong Kim yang benar-benar mahukan khidmatnya.