Selangor meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini apabila berjaya mencatatkan kemenangan kesembilan musim ini selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 3-2 semalam.
Perlawanan yang berintensiti tinggi itu menyaksikan Selangor bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum pemain Jordan, Noor Al-Rawabdeh menjaringkan gol kemenangan buat ‘Sang Gergasi Merah’.
Jika dinilai pada aksi semalam, sudah tentu banyak mata yang memandang prestasi pemain sayap lincah Selangor, Faisal Halim yang sentiasa mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Kedah. Bagi pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, beliau mahu Faisal terus bekerja keras untuk buktikan beliau pemain penting Selangor.
“Beliau (Faisal Halim) telah membantu pasukan dengan baik dan berjaya menjaringkan gol. Jadi prestasi beliau kita perlu beri pujian. Dalam masa yang sama, dia perlu belajar dan meningkat setiap perlawanan kerana kita tahu dia merupakan tonggak utama pasukan.
“Setakat ini, dia sudah bergabung dengan baik bersama rakan sepasukan. Dia perlu bekerja keras untuk buktikan bahawa dia merupakan pemain penting buat Selangor,” jelas Tan Cheng Hoe dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.
Dengan kemenangan ke atas Kedah itu, Selangor kini berada di tangga ke-2 Liga Super dengan mengumpul 28 mata daripada 12 perlawanan yang telah dilalui. Untuk aksi seterusnya, Selangor akan beraksi dalam saingan suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan pada 27 Mei sebelum aksi Liga Super bertemu PDRM FC pada 3 Jun.