Kekalahan mengejut 1-0 Selangor FC kepada PDRM FC semalam sememangnya mengecewakan jurulatih mereka, Tan Cheng Hoe. Ini kerana kelekaan barisan pertahanan membolehkan The Cops melancarkan satu-satunya serangan mereka dan menjaringkan gol menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-61.
Ia terjadi apabila Marcus Macauley yang tidak dikawal berjaya melorongkan bola kepada bekas penyerang Terengganu itu sebelum menewaskan Khairul Azhan Khalid.
Ditambah dengan hakikat perlawanan tersebut didominasi Merah Kuning semalam, ia menambah lagi kepedihan kekalahan tersebut.
“Ya, ia satu keputusan yang mengecewakan. Ia satu kekalahan yang sukar ditelan. Pasukan bermain dengan begitu baik, semua pemain memberi komitmen yang terbaik.
“Ya, dalam bola sepak kalau kita ada satu atau dua peluang (tetapi) kita tidak jaringkan gol dan pasukan lawan mendapat satu, dua peluang keemasan untuk mereka menjaringkan gol.
“Itulah setiap masa pemain tidak boleh leka baik bila bertahan atau menyerang,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena semalam.
Cheng Hoe turut mengakui anak-anak buahnya sedar dengan strategi road block yang digunakan PDRM FC dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Atas sebab itu, beliau sentiasa mengingatkan para pemain agar lebih bijak bila menentang Sang Saka Biru tetapi itu tidak berlaku semalam.
“Ya, sebelum perlawanan kita sudah tahu corak permainan PDRM (FC) akan sentiasa bercorak defensive. Pemain-pemain kena lebih bijak dan boleh mengatasi kekuatan mereka tetapi disebabkan kelekaan satu atau dua pemain, kita dibolosi satu gol yang sukar diterima,” tambahnya.