Advertisement
Tan Cheng Hoe Puji Sumbangan Mukhairi, Harith Haiqal Kepada Selangor
Piala FA
MakanBola
Selangor FC

Kelebihan di gelanggang sendiri dimanfaatkan sepenuhnya Selangor untuk mengalahkan Sri Pahang 4-0 dalam pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA semalam. Semua ini takkan terjadi tanpa sumbangan dua pemain muda, Mukhairi Ajmal dan Harith Haiqal – satu perkara yang membanggakan jurulatih mereka, Tan Cheng Hoe.

Mukhairi memastikan Gergasi Merah selesa mendahului Tok Gajah 2-0 menerusi dua gol pada minit ke-41 dan 59. Sementara Harith yang bergandingan dengan Yazan Al-Arab dan Khuzaimi Piee di bahagian pertahanan berjaya mematikan ancaman gol Sri Pahang yang diketuai Kpah Sherman.

Atas sebab itu, Cheng Hoe memuji sumbangan yang dibawa kedua-duanya dan berharap ia menjadi motivasi untuk mereka terus bersaing merebut kesebelasan utama.

“Ya, kedua-dua pemain cukup berbakat untuk pasukan Selangor dan kita tahu kemampuan dan juga prestasi terbaik dalam latihan. Itu sebab mereka dapat bersaing (dan) memberi permainan yang terbaik.

“(Ini) kerana mereka bekerja keras dalam latihan dan bila diberi peluang (dalam kesebelasan utama), mereka ambil kesempatan dengan baik.

“Dan mereka dapat menjaringkan gol terutamanya (Mukhairi) Ajmal. Dan itu diharap dapat menjadi motivasi kepada beliau untuk terus menunjukkan keyakinan dalam perlawanan akan datang.

“Kalau kita lihat, Harith Haiqal dapat kekalkan ‘tactical discipline’ untuk menjaga Kpah Sherman kerana kita tahu beliau seorang penyerang yang merbahaya. Tetapi fokus dan konsentarasinya membantunya bermain dengan baik pada malam ini,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan Astro Arena.

Selepas ini, Selangor bakal menentang Terengganu dalam aksi Liga Super pada 18 April ini. Sekiranya Mukhairi dan Harith terpilih lagi dalam kesebelasan utama, kedua-duanya diharap dapat mengulangi prestasi sama semasa menentang Sri Pahang semalam.