Susulan pendedahan Bojan Hodak bahawa Selangor dianggap ‘lawan mudah’, ramai berpandangan jurulatih KL City itu sengaja meletakkan tekanan ke atas mereka. Tetapi bagi jurulatih Merah Kuning, Tan Cheng Hoe, beliau tidak ambil pusing dengan kenyataan sensasi jurulatih Croatia itu.
Ini kerana adat bagi mana-mana jurulatih untuk mencari kelebihan dalam perlawanan besar terutama perlawanan ‘derby’ seperti perlawanan ‘derby’ Lembah Klang. Justeru, Cheng Hoe percaya Bojan akan mencari pelbagai kelebihan untuk memotivasikan anak-anak buahnya menentang Selangor malam ini.
“Ya, mana-mana jurulatih tahu ini adalah perlawanan ‘derby’ dan semua pemain bersemangat untuk memenangi perlawanan tersebut. Mungkin itu sebahagian daripada perang psikologi Coach Bojan, Coach Bojan pun ada taktik, strategi tersendiri dari segi motivasi pemain,” katanya bila ditemubual Astro Arena.
Selepas dimalukan 4-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan kelima Liga Super, Cheng Hoe tahu anak-anak buahnya bakal mengharungi satu lagi perlawanan sukar menentang City Boys. Tetapi beliau berharap anak-anak buahnya dapat melupakan apa yang berlaku dan kembali bangkit.
Sekiranya para pemain tampil fokus dan yakin dengan pelan perlawanan mereka, tidak mustahil satu lagi kemenangan dapat diraih pada malam ini. Malah, ia dapat memadamkan label ‘lawan mudah’ yang dicanang Bojan sebelum ini.
“Ya, kita perlukan lupakan perlawanan menentang JDT dan menganggap ia sebagai satu cabaran kepada kita semua. Pemain perlu tahu kelemahan pasukan dan kita perlu bekerja keras untuk pastikan bila kita menentang Kuala Lumpur (KL City) nanti, kita tidak mengulangi kesilapan tersebut.
“Dan saya rasakan pemain pun sudah kaji permainan Kuala Lumpur (KL City) dan kita ingin melihat perlawanan di mana pemain-pemain bangkit dan lebih yakin dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL City) nanti,” tambahnya.