Advertisement
Tano Solari Yakin Arif Aiman Bakal Buktikan Sesuatu
Piala Malaysia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Tano Solari percaya Arif Aiman Hanapi mampu memberi impak besar dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.

Ini kerana beliau percaya tidak seperti saingan Liga Malaysia (Liga M) yang lebih fizikal, saingan ACL bakal beri ruang kepada pemain sayap berusia 21 tahun itu untuk menyinar.

“Saya fikir beliau akan menunjukkan prestasi hebat dalam Liga Juara-Juara (AFC) juga. (Ini) kerana pada tahun ini, anda akan dapat lebih banyak ruang dan pasukan tidak akan mengejar bola dengan kuat seperti di sini.

“Mereka akan meletakkan tiga, empat pemain (mengawal beliau) dan membuat foul ke atas dirinya sepanjang masa. Padangnya pun tidaklah sebagus mana.

“Tetapi beliau akan tampil hebat dalam ACL. Dan kita akan berada di sini untuk menyokong beliau. Paling penting sebagai satu pasukan, saya percaya semua orang akan menyinar,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.

Biarpun baru pulang dari tugasan Harimau Malaya di China, Arif meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-20 dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC semalam.

Aksi suku akhir pertama kejohanan menyaksikan tuan rumah tunduk 3-0 kepada Harimau Selatan. Kini, fokus JDT seterusnya ialah aksi pertama ACL menentang Kawasaki Frontale pada 19 September ini.