Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini cemerlang di persada liga dengan empat kemenangan dan tanpa sebarang kekalahan. Tetapi menjelang perlawanan Liga Super menentang Selangor esok, Esteban ‘Tano’ Solari mahu anak-anak buahnya berwaspada dengan cabaran tuan rumah.
Ini kerana selain JDT, Selangor juga masih belum kalah dalam empat perlawanan. Dan anak-anak buah Tan Cheng Hoe pastinya ingin melakar kemenangan di hadapan para penyokong mereka di Stadium MBPJ esok.
Justeru, Solari mahu anak-anak buahnya tampil fokus bagi memastikan rekod kemenangan 100% mereka terus terpelihara. Dengan rekod tanpa bolos mereka sudah dicalarkan oleh Kelantan pada minggu lepas, beliau tidak mahu rekod tanpa kalah JDT pula tergugat.
“Sebenar tidak kecewa pun apabila kita dibolos tapi ia bagaikan isyarat untuk kita lebih bersedia dan mengelak bagi melakukan kesilapan kerana dalam permainan bola sepak lambat-laun ia akan berlaku juga. Tidak dinafikan benteng JDT cukup ampuh dan konsisten.
“Oleh itu, bagi pertembungan menentang Selangor, kami bukan sahaja memperkemaskan lagi benteng sebaliknya memperbaiki apa jua kelemahan di setiap posisi kerana dalam bola sepak ia sentiasa perlu dimantapkan dan tidak boleh terlalu berpuas hati.
“Saya tahu Selangor adalah pasukan hebat dan mereka berada di momentum terbaik selepas menang pada aksi lalu menentang Penang FC namun akan turun dengan semangat dan mental yang kuat untuk malah mahu kekal konsistensi dan beraksi lebih tersusun,” katanya bila dihubungi Arena Metro.
Solari turut mendedahkan penyerang utama Harimau Selatan, Bergson da Silva juga bakal tampil dalam perlawanan esok. Ini selepas penyerang Brazil itu sudah pulih dari kecederaan semasa menentang Negeri Sembilan.
Walaupun sudah pulih, Solari bersedia mengekalkan Diogo Luis Santo untuk mengepalai jentera serangan JDT sekiranya Bergson masih kurang cergas.
“Ya…Bergson sudah pulih tapi antara dia dan Diogo, kedua-duanya memiliki kualiti tersendiri dan itu kelebihan yang ada di JDT kerana kita memiliki depth squad dan kesemua pemain ini tidak ada masalah diturunkan dan sentiasa beri yang terbaik dalam perlawanan.
“Tak boleh beritahu siapa yang akan diturunkan, saya akan mengumumkan sebelum perlawanan dan sememangnya itu cara kami pada setiap perlawanan,” tambahnya.