Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend menjangkakan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bakal mengambil masa untuk membuat keputusan.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tempoh yang akan diambil CAS berhubung rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.
Ini kerana CAS tidak memberi garis masa yang tepat berhubung keputusan rayuan yang dibentangkan.
“Ia akan mengambil masa antara beberapa hari sehingga tiga minggu,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
“Mereka tidak memberikan kami garis masa yang tepat, tetapi ia pastinya tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Sekarang kita duduk, kita tunggu.”
Friend juga turut bersikap optimis berhubung peluang rayuan FAM dan tujuh pemain negara di CAS.
Sesi pendengaran CAS telah pun selesai pada awal pagi hari Jumaat waktu Malaysia. Jangkaan keputusan akhir akan diumum seawal minggu hadapan.